Saturday, December 6, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


MACAM NARATIF PAK PANDIR
PISANG BAKAR 'ANGUS ADA ACAK IDAK'

Assalamualaikum,

Menikmati teh tarik dalam suasana hujan lebat di luar restoran mamak di Taman Sri Gombak bersama Haji Abu Bakar Ninggal malam semalam (5 Disember 2005) bagaikan terasa macam episod Pak Pandir makan pisang bakar bersama Mak Andeh ketika hujan turun mencurah-curah di luar rumah. Sudah tentu kata-kata Pak Pandir turut menyentuh perasaan, iaitu “Angus ada, acak idak.” (Maksud Pak Pandir, pisang yang dibakar hangus tetapi isinya tak masak). Barangkali! Tetapi naratif Pak Pandir memang masih terus menguasai budaya Melayu, kerana pimpinannya lebih percaya kepada laporan yang molok-molok dari pegawai-pegawai atau kroni-kroni daripada menilai sendiri mereka yang mempunyai penampilan baik di samping mampu membuat kerja-kerja berdasarkan skil yang dimiliki.

Justeru dalam naratif Pak Pandir ini khabarnya dilestarikan menjelang pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu dijangka penamaan calon 6 Januari 2009 dengan pengundian ditetapkan 17 Januari 2009. Pimpinan UMNO di Terengganu meyakinkan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, mereka memastikan UMNO terus memenangi kawasan tersebut. Kononnya, suasana di Kuala Terengganu berbeza daripada di Permatang Pauh, sekalipun sebelumnya Dato’ Seri Najib diyakinkan ianya 50-50. Aduhai! Strategi ‘bersumpah’ di masjid pun tak mampu memenuhi harapan Dato’ Seri Najib hingga Pak Pandir terpaksa juga merungut ‘angus ada, acak idak!’. Kuala Terengganu juga bukan medan selamat untuk UMNO, walaupun barangkali Nenek Maimon akan bertindak sebagai ‘faktor kacau’ seperti keperihalan PRU12 pada 8 Mac 2008.

Fakta perbezaan pendapat di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang pasti akan diterjemahkan oleh media bagi menghadapi pilihanraya kecil berkenaan, mungkin ianya tak kurang berkesan. Bukan sahaja komponen PR berbeza pendapat, malah komponen BN juga lebih jelas berkecemuk, berkeremuk dan beramuk! Timbalan Presiden MCA Dato’ Seri Chua Soi Lek dengan ketuanan Melayu tak relevan, Ketua Wanita Gerakan Dato Tan Lian Hoe dengan Melayu kaum imigran, Presiden MIC Dato’ Seri Samy Vellu dengan isu Hindraf – semuanya kebobrokan paling ketara dalam BN. Apalagi pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said versus pimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh di Terengganu, tak akan memberi kesan kepada strategi perbezaan pendapat dalam PR.

Ditambah lagi dengan isu ‘Kerajaan Langit’ Ayah Pin di Terengganu, membuka ruang yang lebih menarik pada pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terenggani, Januari 2009 ini. Siapa pun calon bertanding dalam pilihanraya kecil berkenaan, PRIMA tetap konsisten dengan pendekatan yang diadaptasi dari pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu ‘sokong calon, bukan sokong parti’. Nenek Maimon juga wajar disokong, sekiranya beliau terbaik di antara calon-calon yang bertanding. Justeru bukan sahaja UMNO, malah PAS mahupun PKR perlu memikirkan kriteria calon yang akan bertanding kerana rakyat wajar dididik memilih ‘calon’ bukannya ‘parti’. Dalam perjuangan menolak perhambaan minda rakyat Malaysia wajar diberi kesedaran ‘yang salah bukan parti’ tetapi ‘orangnya’. Begitulah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

PEMBANGKANG MAKIN MUFLIS IDEA
POTONG GAJI RM10 BUKAN PERKARA BARU.

Budaya parti pembangkang yang membawa usul memotong gaji menteri RM10.00 ke Parlimen disifatkan sebagai ‘kebangsatan melampau’ yang memang tak beretika, bobrok dan perongos, kata bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Justeru beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor, parti pembangkang dicabar lebih bermaruah dengan mengusulkan pemotongan sebulan gaji dan bukannya RM10.00. Sekalipun beliau mengakui tahu motif sebenarnya, tetapi memotong gaji menteri RM10.00 ini sudah menjadi budaya pembangkang sejak dekad 1970-an, malah dikira sudah klise. “Pembangkang yang muflis idea, mandul kewibawaan dan bobrok identiti sahaja mengulangi perkara yang sudah klise,” ujar Dato’ Dr Mohd Mansor mengulas usul memotong gaji Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar RM10.00 di Dewan Rakyat 4 Disember 2008 lalu.

Dato’ Dr Mohd Mansor menambah, sekiranya menteri terbabit menyalah gunakan kuasa, ianya boleh ditakrif sebagai ‘rasuah’, justeru parti pembangkang perlu membuat laporan kepada BPR. Seterunya beliau memberitahu, motif sebenarnya mahu memberi malu kepada menteri sekalipun usul berkenaan ditolak. Malah sebelum ini, parti pembangkang juga sering membuat usul meminta kerajaan membentuk ‘suruhanjaya di raja’ atau ‘kertas putih’ bagi menangani satu-satu isu. Dengan mendominasi lima kerajaan negeri, adalah wajar parti pembangkang menggunakan isu ‘memotong gaji RM10.00’, menubuhkan ‘suruhanjaya diraja’ dan menyediakan ‘kertas putih’ dalam beberapa isu yang berbangkit dalam negeri-negeri yang dikuasainya, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. “Sebaik-baiknya parti pembangkang mencari idea baru bukan mengulangi perkara-perkara yang sudah klise,” ujarnya lagi.

HAK KONSEP KETUANAN MELAYU:
BUKAN TERLETAK DI TANGAN UMNO

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz percaya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tak menyentuh kedudukan institusi raja-raja Melayu apabila menyebut tak wujud ‘konsep ketuanan Melayu’. Merujuk kenyataan Tun Dr Mahathir dalam wawancara dengan wartawan Aljazeera baru-baru ini, Dato’ Kamal Amir turut yakin Tun Dr Mahathir peka terhadap kepentingan raja-raja Melayu. Beliau mengakui, Tun Dr Mahathir merujuk kepada politik UMNO apabila menyentuh ‘ketuanan Melayu’ kerana banyak pihak kekuatan UMNO ialah sebagai ‘ketuanan Melayu’. Seterusnya kata Dato’ Kamal Amir memang sebahagian besar oran bukan Melayu menyangka ketuanan Melayu itu ialah keperkasaan pimpinan UMNO. “Kalau pun konsep ketuanan Melayu tak wujud tetapi kita perlu mempertahankan kekebalan raja-raja Melayu,” beliau menambah.

Menurut Dato’ Kamal Amir selanjutnya, UMNO sendiri ditegakkan dengan sumber dana yang dihulur oleh raja-raja Melayu pada 1-4 Mac 1946. Katanya, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dilaporkan menderma RM 6 ribu daripada sejumlah RM15 ribu yang terkumpul ketika kutipan derma menjelang Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru. Seterusnya beritahu Dato’ Kamal Amir, piagam UMNO juga diterima di Istana Besar Johor Bahru sebelum diproklamir sebagai sebuah organisasi massa yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu. “UMNO sendiri yang merosakkan konsep ketuanan Melayu, justeru PRIMA mahukan konsep ketuanan Melayu tak beralih kepada UMNO tetapi kekal dengan institusi raja-raja Melayu,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

TRAGEDI TANAH RUNTUH:
BENCANA ALAM ATAU KELALAIAN?
Kawasan perumaham di Bukit Antarabangsa mengalami tragedi tanah runtuh hari ini (6 Disember 2008) ketika penghuni-penghuni nyenyak tidur jam 4.00 pagi. Kalau dirujuk kepada insiden yang disebut dalam sirah Islam, apabila dua orang petani di Yaman melihat ladang gandumnya yang menjanjikan hasil pada sebelah petang, tetapi musnah keesokan harinya oleh kebakaran mungkin dianggap cerita dongeng. Tetapi insiden di Bukit Antarbangsa berulang lagi selepas tragedi Highland Towers pada 1993 yang juga mengorbankan lebih 40 nyawa. Malah minggu lalu insiden tanah runtuh baru sahaja menimpa satu keluarga di Ulu Yam, Selangor. Kita akan melihat ianya sebagai bencana alam yang sukar diduga, sebaliknya ‘kelalaian manusia’ tak pernah diambil kira.

Cerun di lereng bukit seolah-olah menjadi pilihan pemaju perumahan yang membuat takrif ianya sebagai ‘history scenery’ yang memukau ramai pembeli, di samping pegawai PBT membiarkan bukit bukau ditarah. Kita mula mengambil langkah-langkah drastik kononnya bagi mengelakkan tragedi berkenaan berulang lagi. Sebaliknya jaminan itu sekadar buat sementara kerana bukit bukau terus ditarah apabila kemalanngan dilihat tak berlaku dalam tempoh 10 tahun. Disebabkan kita menganggap sejarah sebagai dongengan dengan kepongahan akan kehebatan teknologi manusia yang hebat, justeru tak siapapun mahu belajar dari sejarah. Runtuhan tanah bukan sekadar bencana alam sama juga seperti tsunami, banjir, taufan, gempa dan lain-lain, tetapi peringatan yang perlu dijadikan pengajaran, kewajaran dan kesejajaran!

INFO SASTERA & BUDAYA

PELAKSANAAN INDUSTRI BUKU MALASIA
MEMBERI SUNTIKAN KEPADA PENERBIT KECIL.

Penerbit-penerbit kecil dalam industri buku Malaysia terpaksa bersaing bersaing dengan penerbit-penerbit raksasa yang lengkap mempunyai rangkaian perniagaan di setiap sektor. Pelaksanaan skim indisutri buku Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), akan memberi advantage kepada penerbit-penerbit raksasa yang sebelumnya berasa malu untuk terbabit menerbitkan buku-buku yang tak komersil. Berdasarkan laman web http://www.dbp.gov.my/ kategori yang ditawarkan kepada penerbit-penerbit ialah (i) buku mewah, (ii) buku autobiografi, biografi, memoir, (iii) buku bukan fisyen, (iv) buku info bergambar untuk kanak-kanak, dan (v) buku pendidikan untuk kanak-kanak.
Bagi kategori (iv) dan (v) memang berunsur komersil, malah banyak penerbit-penerbit raksasa terbabit disebabkan mereka menjaring dengan jurujual di merata sekolah-sekolah untuk bahan bacaan tambahan. Bagaimanapun ianya ditawarkan RM10 ribu sahaja untuk skim industri buku Malaysia ini bagi satu item, berbanding dengan kategori (i) sebanyak RM50 ribu, kategori (ii) RM30 ribu dan kategori (iii) ialah RM20 ribu. Bagi kategori (ii) dan (iii) bukanlah berbentuk komersil, sebaliknya minat penulis dan keprihatinan penerbit sahaja. Misalnya, sekitar dekad 1980-an, Pustaka Budiman Sdn Bhd sudah menerbitkan ’25 Tahun Merdeka’, ’Askar Melayu 50 Tahun’, ‘Melaka Tempa Sejarah’, ‘300 Pepatah’ dan ‘Payung Terkembang’ yang termasuk pada kategori (iii).

Haji Bachtiar Djamily juga menulis buku biografi Samad Ismail, Pak Sako dan Dr Burhanuddin al-Helmy diterbitkan oleh Pustaka Budiman yang masuk pada kategori (ii). Penulisan berbentuk demikian memang tak komersil, tetapi sekadar minat penulisnya di samping keprihatinan penerbit. Langkah susulan yang digerakkan oleh industri buku Malaysia ini, mungkin sahaja memberi suntikan kepada semangat penulis-penulis yang peka dengan kategori (ii) dan (iii), tetapi sukar mencari penerbit yang prihatin. Lainlah Kantung Network yang mampu mendapatkan kerjasama Ketua Menteri Melaka Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, Timbalan Menteri Sumber Manusia Dato’ Nuraini Ahmad, bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, bekas Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Mahadzir Khalid dan Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Adnan Yaakob.

SASTERAWAN NEGERI PERLU BANTU
PENYELIDIKAN BUDAYA MUZIUM NS
Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Dato’ Seri Mohamad Hassan dicabar meminta penulis-penulis yang sudah diiktiraf dengan diberi anugerah sasterawan Negeri Sembilan, tokoh seni dan sebagainya membantu penyelidikan budaya muzium Negeri Sembilan bagi memperkasa pembangunan budaya Melayu di negeri itu, kata aktivis budaya Yassinsalleh. Beliau memberitahu, sikap terlalu bergantung kepada individu tertentu akan merugikan kerajaan negeri yang sudah membuat pelaburan besar apabila mengiktiraf mereka yang diberikan anugerah. Yassinsalleh berkata demikian, apabila mengulas pelancaran buku autobiografi ‘Undang Luak Rembau’ yang masih ditulis oleh saterawan Dharmala N.S. (Pak Dharma) sekalipun sudah berundur dari Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan sejak 2003. “Negeri Sembilan perlu mencari penulis yang lebih berwibawa iaitu mereka yang sudah menerima anugerah,” ujar Yassinsalleh.

Menurut Yassinsalleh anak kelahiran Pahang tetapi ayahnya berasal dari Negeri Sembilan, dalam tempoh setahun Pak Dharma diminta menulis autobiografi Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau, tetapi tak pernah menerima peruntukan daripada kerajaan Negeri Sembilan. Apalagi berulang alik dari Kuala Lumpur ke destinasi di Negeri Sembilan menemui dato’-dato’ lembaga adalah atas perbelanjaan sendiri, di samping ihsan dari YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani dan YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman. “Kalau dengan peruntukan RM2,800 bagi dua projek berkenaan disediakan oleh Muzium Negeri Sembilan, kerajaan Negeri Sembilan di bawah Dato’ Mohamad Hassan perlu meminta penulis-penulis yang sudah diberi anugerah melakukannya,” kata Yassinsalleh menambah.

Seterusnya Yassinsalleh memberitahu, perkara ini didedahkan kerana sikap kerajaan Negeri Sembilan yang tak tahu menghargai penulis. Kalau ketua pimpinan PRIMA boleh diperlakukan secara ‘semborono’, bagaimana dengan penulis-penulis baru yang memang bergantung hidup kepada penulisan, ujar Yassinsalleh. Pak Dharma menurut Yassinsalleh sudah berundur dari Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan sejak 2003, tetapi kembali membantu selepas menerima pelawaan YTM Dato’ Haji Mohd Jan dan YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip. YTM Dato’ Haji Mohd Jan menderma RM5,000, di samping Dato’ Haji Muhamad Sharip menderma RM1,000 berbanding dengan peruntukan muzium RM2,400, katanya. “Justeru adalah sia-sia kerajaan negeri memberi anugerah kepada penulis di Negeri Sembilan, kalau mengharapkan orang dari Kuala Lumpur melakukannya,” beliau menjelaskan.

INFO SUARA PROLITAR

JAWATANKUASA PENYELIDIKAN BUDAYA
PAK DHARMA MEMILIH JALAN BERUNDUR

Selepas menyiapkan buku ‘Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman: LEGASI KETUANAN REMBAU’ iaitu Undang Luak Rembau ke 21, pengarangnya Dharmala N.S (Pak Dharma) mengambil keputusan berundur daripada membantu kerja-kerja Muzium Negeri Sembilan mulai 1 Disember 2008. Keputusan tersebut bermakna Pak Dharma tak lagi terbabit dalam sebarang penyelidikan yang dibuat oleh Muzium Negeri Sembilan termasuk menubuhkan ‘Galeri Tan Sri Abdul Samad Idris’ yang dalam perancangan. Sepanjang 2008 Pak Dharma membantu dalam menyiapkan buku YTM Undang Luak Johol dan YTM Undang Luak Rembau sebagai pembabitan terakhirnya dalam kerja-kerja penyelidikan di Muzium Negeri Sembilan. – (Yassinsalleh, Kajang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ZAID DEDAHKAN UMNO KALUT:
SEMAKIN RAMAI CEMUH PAK LAH

Arakian bekas Orangkaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zaid Ibrahim itu dipecat oranglah; tidaklah ia menjadi anak buah harakah Melayu (UMNO) lagi. Adapun Dato’ Zaid itu percayalah ia bukan Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memecatnya, tetapi pengaruh orang-orang yang sama dengan Patih Karma Wijaya dalam kerajaan Melayu Melaka dahukala. Syahdan akan kejadian Dato’ Zaid Ibrahim dipecat itu, berlaku juga di kalangan anak-anak buah Melayu yang lain. Alkisah diberitahu kepada fakir suatu waktu dahulu Orangkaya Parit, Hashim Gera dipecat ia daripada PAS kerana menghadiri majlis tari menari UMNO, adanya. Syahdan menjadi dosa besarlah kalau menghadiri majlis bukan di kalangan anak-anak buah sendiri. Maka oleh Dato’ Zaid didedahkan orang-orang yang mencemuh Orangkaya Dato’ Seri Abdullah dan lain-lain yang tak diambil tindakan, adanya.

Syahdan akan Sultan Mahmud terlalu sangat menyesal dirinya oleh membunuh Bendahara Seri Maharaja itu. Maka disuruh baginda tafahhus pekerjaan itu dari mana datangnya. Telah nyatalah diketahui baginda fitnah itu daripada Kitul dan Raja Mendeliar datangnya, maka Raja Mendeliar pun disuruh baginda bunuh, dibuangkan denngan rumahnya sekali. Akan Kitul disuruh sulakan melintang dengan segala anak bininya, tanah bekas kaki tiangnya pun dibuang ke laut; dan Laksamana Khoja Hassan pun disuruh baginda rampas, oleh ia berdatang sembah tiada dengan sebenarnya dan tiada dengan periksanya; sebab tiada dibunuh, kerana sudah diharamkan baginda darahnya, seperti kata ulama, ‘Al-bi’ru fi ‘l-qawmi ahra lahuma sharban’ yakni, yang sungai minuman itu pada suatu kaum itu juga meminum dia iaitu disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:







HIDUP BAHASA MELAYU!